I made this widget at MyFlashFetish.com.

MyJ Project
Yayasan Hai-O serah RM100,000 untuk anjur pelbagai aktiviti kebajikan

YAYASAN Hai-O, cawangan kebajikan Kumpulan Hai-O Berhad memberi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) bagi membantu menjalankan aktiviti kebajikan badan amal berkenaan.

Cek sumbangan diserahkan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan Hai-O Marketing Sdn Bhd, Shahrizan Idris kepada Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

Shahrizan berkata, sumbangan berkenaan diharap dapat membantu badan berkenaan menganjurkan pelbagai aktiviti yang memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Kami berharap sumbangan ini akan dapat membantu Bakti dalam memperluaskan lagi aktiviti kebajikan mereka. Semoga ia akan dapat membantu lebih ramai insan-insan yang kurang bernasib baik,” katanya.

Turut hadir isteri Menteri dan Timbalan Menteri di pejabat Bakti di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru.

Selain sumbangan ini, Yayasan Hai-O turut menyumbang sejumlah RM78,000 kepada lima rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang iaitu Pertubuhan Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat, Rumah Amal Anak Yatim YPIN Jalan Banting Klang, Pengurusan Baitul Kasih Sg Buloh, Pertubuhan Kanak-Kanak Insan Istimewa Cemerlang Sungai Buaya Rawang dan Rumah Nursalam Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Antara beberapa tujuan sumbangan ialah bagi mempertingkat dan memodenkan kemudahan pembelajaran serta penginapan lebih 150 penghuni rumah kebajikan berkenaan.

Yayasan Hai-O menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan yang dinamakan 'Dari Masyarakat Kepada Masyarakat' sejak ia ditubuhkan tahun lalu. Sebanyak 500 unit penapis air Bio Aura bernilai RM1 juta disumbangkan oleh Hai-O Marketing untuk diagihkan kepada badan kebajikan serta badan kerajaan dan swasta di seluruh Malaysia.

Sumber : Berita Harian 05/03/2010
Labels: | |